Wednesday, August 20, 2014

Bab 29

Kasut tumit tinggi yang dipakainya dibuka perlahan. Takut jugak kalau menimbulkan sebarang bunyi. Jam di tangan dikerling sejenak, sudah pukul dua belas malam. Dia sendiri tidak menyangka akan balik selewat ini. Perjumpaan dengan Puan Kalida seorang pengusaha alat komestik terbesar di Malaysia seketika tadi berlanjutan hingga lewat malam, semuanya dek kerana Puan Kalida berminat untuk mengambil dirinya sebagai duta untuk mempromosikan keluaran alat komestik terbaru syarikatnya. Kata Kiki ini peluang yang bagus sebagai langkah awal untuk dirinya bergelar model.
            Pak Samad yang bertugas sebagai penjaga di rumah banglo tiga tingkat hanya menurut sahaja bila anak majikannya itu mengarahnya untuk mendiamkan diri sahaja. Perlahan langkah kaki Aira diatur menuju ke pintu rumahnya, tombol pintu berwarna keemasan itu dipulas perlahan. Kepalanya dijengukkan sedikit kalau-kalau ayahnya itu tiba-tiba muncul di hadapannya..
            “Aira!” suara keras Tan Sri Megat Miqdad menyapa telinganya. Langkah Aira membatu. Wajah tegas Tan Sri Megat Miqdad dipandang.
            “Papa..” jawab Aira dengan senyuman.
            “Pukul berapa sekarang?” soal Tan Sri Megat Miqdad kasar.
            “Sorry papa, Aira banyak kerja tadi. Sorry..” Aira memaparkan muka simpatinya. Berharap agar papanya itu tidak banyak soal, dia benar-benar kepenatan. Hanya bantal dan tilam saja yang terbayang di matanya.
            “Papa bagi Aira kebebasan, tak bermakna Aira kena buat perangai macam ni.” Suara Tan Sri Megat Miqdad lagi, kali ini nada suaranya sudah naik selevel.
            “Papa sorry, Aira penat ni. Aira naik dulu ya. Kita bincang esok.” Pujuk Aira, lengan papanya itu dipaut kemas. Tan Sri Megat Miqdad hanya berdehem. Memang susah nak berurusan dengan anak perempuannya itu. Bila dia dah buat muka manjanya itu, mulalah cair api kemarahannya. Aira..Aira..
            “Ingat janji Aira dengan papa. Tempoh enam bulan berjalan Aira.” Ujar Tan Sri Megat Miqdad. Wajah putih anaknya itu dipandang, wajah anak perempuannya itu memang iras bekas isterinya. Memandang wajah itu seolah-olah meredakan sedikit kerinduan pada isteri yang mengkhianati cintanya itu.
            “Yes boss!” Aira malas banyak soal. Kakinya diatur menuju ke pintu lif.
            “Lagi satu.” Panggil Tan Sri Megat Miqdad.
            “Papa nak Aira jumpa seseorang esok. Kali ni jangan buat muka badut, papa yakin dia yang terbaik untuk Aira.” Pesan Tan Sri Megat Miqdad. Terbeliak mata Aira, ingatkan dah hilang operasi mencari jodoh oleh papanya itu.
            “Papa..”
            “Pergi tidur. Dah lewat ni, keputusan papa muktamad!” Aira mendengus geram. Langkah papanya itu dipandang kosong. Jodoh apa lagi ni? Dah kenapa semua lelaki yang papa kenal tak boleh nak cari jodoh sendiri? Semua nak kena atur!
                                                ****************
DATIN LAILA memasuki ruang pejabat suaminya dengan muka serius. Perkhabaran yang baru diterimanya tadi betul-betul menimbulkan kemarahannya. Tanpa mengetuk pintu bilik suaminya itu, Datin Laila terus melulu masuk. Benar tekaannya, wajah suami dan dua orang anak lelakinya terpampang di depan matanya. Sempat dia terpandang Encik Ropi, peguam syarikat mereka yang sedang tekun menyusun dokumen.
            Degupan jantung Jemy menjadi lebih laju dari tadi. Satu-satunya wajah wanita yang amat dirinduinya ada di depan matanya sekarang. Tapi wajah itu tidak mengukirkan walau sebaris pun senyuman untuknya, hanya pandangan benci dan penuh kemarahan yang diterima dari wanita itu sejak dulu lagi. Jemy menunduk, memang tidak seharusnya dia datang ke sini. Ini bukan tempatnya.
            “Abang buat apa ni?” soal Datin Laila keras. Tajam matanya memandang suaminya itu.
            “Encik Ropi, awak keluar dulu. Nanti saya panggil awak masuk semula.” Arah Datuk Roslan. Muka marah isterinya dipandang tak beriak.
            “Ibu buat apa di sini?” soal Nazrul pulak. Dia faham benar punca kemarahan ibunya itu. Tidak lain tidak bukan kerana keputusan ayahnya untuk menyerahkan sebahagian saham syarikat mereka kepada abangnya, Jemy.
            “Tanya ayah kamu! Kenapa dia serahkan sebahagian saham syarikat pada budak ni?” tengking Datin Laila, jari telunjuknya sudah menunjal ke arah Jemy yang hanya membatu dari tadi. Bisa sungguh kata-kata dari insan bergelar ibu itu. Lukanya yang belum terawat sejak dulu kini kian berdarah. Dia tidak pernah mengimpikan harta dari ayahnya itu, tidak pernah sama sekali, dia ke sini setelah dipaksa beberapa kali oleh Datuk Roslan dan Nazrul sendiri.
            “Laila..”
            “Abang ni dah hilang akal ke apa? Kenapa nak beri sebahagian harta abang untuk anak haram ni? Dia tak layak dapat satu sen pun!” tengking Datin Laila dengan marah.
            “Laila!” Datuk Roslan sudah hilang sabar. Tajam matanya memandang raut wajah isterinya. Kenapa Laila tidak pernah berubah? Jemy memejam matanya,hancur sudah hatinya dek kata-kata dari ibunya. Ingin saja dia menangis di situ.
            “Ibu, kenapa ibu boleh cakap abang macam tu?” Nazrul sudah bersuara, dia sendiri tak menyangka setebal itu kebencian ibunya pada Jemy.
            “Siapa abang kau? Dia bukan abang kau! Dia bukan anak aku!”
            “Astafirullah..Laila, bawa-bawalah mengucap. Ingat Allah, Nazmi ni anak kandung awak. Darah daging awak.” Nasihat Datuk Roslan. Dia dapat melihat riak wajah anak sulungnya yang sudah berubah, pasti hati itu terluka. Maafkan ayah nak..
            “Aku tak ada anak haram dari benih tak guna tu! Baik kau pergi dari sini, aku tak nak lihat muka kau. Aku benci!” Datin Laila sudah seperti dirasuk. Tangannya ligat memukul Jemy yang dari tadi hanya menunduk, pukulan dari ibunya itu seolah-olah tiada rasa. Hatinya lebih sakit menahan setiap cemuhan dari ibunya itu. Tanpa sangka airmatanya jatuh juga buat ke sekian kali.
            “Maaf. Nazmi pergi dulu.” Segera dia berlalu keluar dari bilik segi empat itu, tak sedikitpun dia menoleh bila namanya dipanggil serentak oleh ayah dan adiknya. Silap besar bila dia setuju untuk ke situ, dia sepatutnya sedar, sampai bila dia takkan pernah diterima oleh ibunya sendiri.
                                                **************
NJ STUDIO CITY miliknya dihampiri. Langkah kakinya yang longlai hanya mampu diheret ke situ, tidak berdaya rasanya untuk melangkah ke destinasi lain. Sebaik saja bilik studio dibuka, Jemy menutup lampu yang terang benderang menyuluh studio tersebut, mungkin saja Rahim dan Azlan lupa menutup lampu sebelum menutup studio tadi.
            Nafas dihembus perlahan, dia ingin bersendirian tika ini. Hatinya masih luka berdarah dek tajamnya kata-kata dari ibu yang amat dia sayangi itu. Punggungnya segera dilabuhkan di suatu sudut. Kepalanya ditunduk, sambil tangannya memegang kepalanya yang terasa berat.
            “Abang ni dah hilang akal ke apa? Kenapa nak beri sebahagian harta abang untuk anak haram ni? Dia tak layak dapat satu sen pun!”
            Jemy memegang dadanya yang tiba-tiba merasa perit. Pedih bak ditusuk sembilu. Anak haram? Dari dulu lagi ibunya itu menggelarnya anak haram. Airmata yang ingin ditahan jatuh lagi. Jemy menundukkan wajahnya, menangis sepuas hatinya. Salahkah dia untuk mendapat kasih dan sayang dari insan bergelar ibu? Dia begitu mendambakannya.
            “Ibu..” lemahnya jiwa lelakinya hanya begitu dahagakan kasih dari ibunya.
            “Aku dah bagitahu kau, aku haramkan mulut kau panggil aku Ibu.”
Makin kedengaran esak tangis Jemy. Puas dia berfikir, apa salahnya sehingga ibu sendiri sangat membenci dirinya. Tidak mungkin untuk dia melupakan setiap kata-kata tajam dari ibunya itu. Dan hari ni hatinya terluka lagi.
Langkah Aira terhenti di tangga bila mendengar esak tangis itu. Dari situ dia dapat melihat Jemy yang duduk berteleku sambil menangis hiba. Tidak pernah lagi dia melihat airmata lelaki itu. Tujuan dia ke situ hanya untuk bertemu dengan lelaki itu, dia cuma meminta keizinan dari Rahim dan Azlan untuk menunggu Jemy di studio, dan di saat ini dia melihat lelaki itu berada dalam keadaan selemah itu. Betul ke itu Jemy yang dia kenal? Jemy yang sentiasa dengan muka barannya dan tanpa senyuman. Hari ni, malam ni..dengan bersaksikan gelap malam, dia melihat Jemy menangis sendirian di satu sudut!
‘Ya Allah, hari ni aku melihat tangisannya. Entah kenapa hati ni turut menangis bila melihat betapa sedihnya dia saat ini.’ Aira memegang dadanya yang mula merasa sebak. Tubir matanya mula bergenang.
‘Pulihkan hatinya Ya Allah, pulihkan hatinya dari segala luka yang membuatnya menangis sebegitu. Aku tak boleh melihat tangisannya, aku tak boleh, berikan saja pada aku. Aku ingin berkongsi kesakitannya.’ Aira turut menangis di situ. Mulutnya ditutup, hanya matanya yang mula basah memandang lelaki yang amat dicintainya itu, dan lelaki itu masih bersendirian menangis dalam gelap yang hanya diterangi cahaya jalan raya yang menerobos masuk melalui cermin tingkap
Hampir beberapa minit mereka begitu. Aira menyeka airmatanya, segera dia bergerak ke tingkat atas. Iphonenya terus dicapai, dia ingin melakukan sesuatu untuk menceriakan lelaki itu. Nombor Jemy terus didail.
“Hello sayang..” sapa Aira ceria. Cuba disembunyikan getar dari nada suaranya.
“Hmm..tak tido lagi?” Soal Jemy. Suara serak basah Jemy menembusi telinga Aira, sengaja dia pura-pura tidak dengar.
“Kat mana?”
“Studio. Dah lewat, kenapa tak tido lagi? Esok bukan ada shoot ke?” Jemy bangun dari duduknya menuju ke sofa. Mendengar suara gadis itu menghilangkan sedikit tekanannya.
“Tak ngantuk. Jom, temankan saya jalan-jalan.” Ajak Aira.
“Jalan-jalan?” Jemy mengerling sekilas jam di tangannya. Sudah pukul sembilan malam. Lama jugak dia bertapa di situ tadi.
“Saya penatlah, esok je lah ya.” Pujuk Jemy. Bukan apa, dalam keadaan dirinya yang begini, dia tidak mahu Aira berfikir yang bukan-bukan.
“Tak nak esok. Hari ni ya, saya tunggu awak dekat taman yang kita selalu jumpa tu.” Putus Aira.
“Awak pergi dengan siapa? Malam-malam macam ni?” soal Jemy risau.
“Kak Mila. Cepat tau.” Aira terus mematikan talian. Dia menghembus nafas lega, dia bergerak kebilik Jemy, menunggu untuk Jemy beredar dari studio tersebut. Nombor Kak Mila dipanggil, tak mengapalah Kak Mila, Aira bayar double pay. Sekarang ni kita ada misi. Misi menceriakan kekasih Aira yang sedang bersedih tu! Selang beberapa minit terdengar bunyi enjin kereta Jemy, Aira tersenyum sendiri. Jemy sentiasa meluangkan masa untuknya bila dia perlu.
                                    ***************
AIRA menghampiri Jemy yang sedang duduk di sebuah bangku berhampiran sepohon pokok yang merendang. Dari jauh dia dapat melihat wajah muram lelaki itu, Mila hanya mengikuti langkah anak majikannya itu. Dia sendiri terkejut bila Aira menghubunginya seketika tadi, tanpa bantahan dia hanya menurut. Itulah tuntutan tugasnya sebagai pembantu peribadi, kerja tak mengira masa!
            “Jemy..” panggil Aira, namun dia masih berdiri tidak jauh dari lelaki itu.

            “Kenapa nak keluar malam-malam macam ni? Esokkan awak..” belum sempat Jemy menghasbiskan ayatnya, Aira sudah menerpa ke arahnya. Badan lelaki itu terus dirangkul kemas. Tak terkata Jemy seketika, pandangannya dihalakan ke arah Kak Mila. Kenapa Aira tiba-tiba berperangai begini. Apa yang dah jadi? Perlahan Jemy membalas pelukan gadis itu. Dia sendiri perlukan sokongan dari kekasihnya itu, Jemy menarik nafas lega, sedikit sebanyak hilang bebanan perasaannya.

5 comments:

  1. nak lagi jangan lama sangat ya tq.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih baby mio. Maaf sebab lambat update, banyak kerja sikit. Terima kasih byk2 ats sokongan yang diberi. Insyaallah, saya akan up lagi dan sudi2lah membaca karya yang tak seberapa ini.

    ReplyDelete
  3. terbayang syafik kyle & hannah...
    masa baca .heheheh

    ReplyDelete
  4. terbayang syafik kyle & hannah...
    masa baca .heheheh

    ReplyDelete