Friday, November 6, 2015

N3 SPECIAL MMP (PART 3)

Jumpa malam nanti, miss you!
            Tangan Aira bergetar sebaik sahaja melihat baris ayat itu keluar dari peti masuk mesej suaminya. Lidahnya kelu tak terkata. Matanya mula berkaca. Betulkah apa yang berada di hadapan matanya sekarang? Siapa si Erin yang mengirimkan mesej kepada suaminya itu? Kenapa si pengirim itu merindui suaminya?
            Aira menggeleng berulang kali. Takut memikirkan sebarang kemungkinan. Mustahil Jemy mencuranginya? Mustahil Jemy memungkiri janji mereka dulu? Lupakah Jemy akan dugaan yang telah mereka lalui untuk hidup bersama sehingga kini? Lupakah Jemy akan kesusahan itu? Entah kenapa, Aira jadi cuak. Cuak bila berfikir sejauh itu. Tanpa dia sedari, pipinya sudah dibasahi air mata. Terasa sesak dadanya.
            Tiba-tiba pintu bilik air terbuka dari dalam. Aira tidak mampu melepaskan telefon suaminya itu dari tangannya. Dia mendongak memandang Jemy yang kelihatan terkejut. Apalagi bila mata Jemy terus mengarahkan ke arah telefon di tangannya. Aira dan Jemy saling berpandangan. Masing-masing diam seribu bahasa. Aira sengaja memandang tajam ke arah suaminya itu. Biar Jemy tahu yang dia telah tahu segalanya!
            “Papa! Mama! Cepatlah!” suara Aimie tiba-tiba memintas interaksi di antara mereka. Aira serentak mengalih pandangan ke arah anaknya. Seulas senyuman cuba diukirkan. Dia tidak mahu anaknya dapat menangkap seseuatu yang tidak kena antara mereka. Jemy pula masih tidak mampu melarikan pandangan dari memandang wajah sugul Aira. Jemy dapat melihat kekecewaannya di situ.
            “Ya sayang, papa dan mama datang sekarang.” Aira memandang sedikit ke arah suaminya. Pandangan itu seolah-olah tidak mempamerkan apa-apa.
            “Jomlah, Aimie dah tunggu kita,” Aira menggamit sedikit ke arah Jemy. Dia ingin berlalu. Namun, Jemy cepat menghalang.
            “Sayang..” panggil Jemy lembut. Aira tidak menoleh. Namun, senyum sinisnya sudah terukir.
            “Sayang?” Jemy mengeluarkan keluhan berat sebaik sahaja Aira bersuara. Selama ini dia diselubungi rasa bersalah. Bersalah kerana dia tidak pernah jujur dengan isterinya itu. Isteri yang banyak mengorbankan segala-galanya kepadanya.
            “Abang...”
            “Aimie dah tunggu kita.” Aira pantas berlalu. Meninggalkan Jemy yang masih termanggu. Sempat dia menyeka air mata yang mengalir di pipinya. Sakit hatinya hanya Allah yang tahu. Ini balasan Jemy di atas kesetiannya selama ini.           
            Seboleh mungkin Aira cuba menguntum senyum bila dia dan Jemy tiba di sebuah bilik studio yang dibina khas oleh suaminya. Aira mengerling ke arah Jemy sekejap. Melihat anak mereka yang sudah siap sedia dengan kamera di tangan, Aira menggeleng perlahan. Sekelip mata, suasana di antara mereka berubah. Hanya kerana mesej rindu di telefon suaminya.
            “Cepatlah, mama!” gamit Aimie lagi.
            Aira tersenyum hambar. Sejak kecil lagi Aimie anaknya memang menunjukkan minat dalam bidang fotografi. Lebih mengikut jejak langkah papanya.
            “Yalah, mama ni lambat sangat.” Tiba-tiba Aira merasakan pinggang dirangkul kemas dari arah belakang. Aira menoleh sekejap memandang Jemy yang sudah tersenyum padanya. Kenapa selama ini dia boleh tidak perasan perubahan suaminya itu? Layanan Jemy padanya tidak pernah berubah. Masih seperti dulu. Kata-kata cinta sering Jemy ucapkan setiap hari di telinganya, seperti yang pernah suaminya itu janjikan dulu.
            Jemy membawa Aira ke set. Permintaan Aimie yang ingin merakan gambar dia dan isteri hanya diturutkan. Selain mengasah bakat Aimie dalam bidang fotografi. Aira mula rasa tidak senang. Apalagi bila sentuhan itu begitu erat di pinggangnya. Dia memandang kejap ke arah Jemy yang kelihatan bersahaja seolah-olah tiada apa yang berlaku di antara mereka.
            “Mama! Papa! Senyum...” Aimie memberi arahan. Aira menghembus nafasnya. Cuba membuang segala bayang berada di hadapan matanya. Tangan jemy dibiarkan. Aimie tidak boleh tahu apa yang berlaku di antara mereka. Dia tersenyum memandang anaknya.
            “Ingat pesan papa. Fokus dan seimbangkan kanta tu!” Jemy sempat berpesan pada anaknya.
            “Okey, satu! Dua! Tiga!” Klik! Bunyi kamera kedengaran. Aimie tersenyum puas bila berjaya menangkap gambar kedua-dua orang tuanya.
            “Kenapa mama tak senyum?” Aimie mengomel sebaik sahaja matanya lekat pada monitor. Jemy terus memandang isterinya yang turut sama memandang ke arahnya.
            “Sayang...”
            Aira menggeleng. Kali ini dia tidak mampu menahan rasa. Dia meleraikan pegangan Jemy di pinggangnya. Tergamam Jemy dibuatnya. Belum pernah Aira menolak sentuhannya. Bukan di hadapan anak mereka. Tiba-tiba Aira bertindak merapatkan  dirinya ke arah Jemy, mulutnya dirapatkan di telinga suaminya, dia ingin berbisik sesuatu di telinga itu.
            “Abang betul-betul dah kecewakan Sara. Paling tidak pun, abang setia. Kalau dalam hati tu dah tak ada cinta.” Sebaik sahaja membisikkan ayat itu, Aira pantas berlalu. Sempat dia mencium pipi anaknya sebalum keluar dari ruang studio yang terasa panas malam itu.

            Jemy hanya mampu termanggu dengan keluhan di bibir.

P/S : Harap bertenang dan jangan marah ya! :)

4 comments: